Assalamualaikum


PESAN BUAT DIRI

Hadirku Sebagai Dhuyufurrahman dan Kembaliku Bersama Kemabruran.. in shaa Allah. 🕋 LAMBAIAN KAABAH 🕋 *Susah Payah di Tanah Suci* Oleh kerana ibadah haji mempunyai masanya yang terhad berbanding dengan ibadah umrah, kesesakan yang dahsyat berlaku di Masjidil Haram dan Masyair-Arafah,Mina dan Muzdhalifah pada waktu-waktu haji. Lantaran itu, kita disaran agar banyak bersabar. Haji mengajar kita erti kesabaran. Kita perlu bersabar dengan ketidakselesaan. Apabila berada di Arafah, semua manusia dilayan sama sahaja, sama ada orang kampung ataupun orang bandar, sama ada berjawatan tinggi atau kuli sahaja. Semuanya sama. Semuanya akan merasai bahang kepanasan yang mencecah sehingga 45c, walaupun pergi melalui agensi swasta atau pakej berpuluh ribu, apatah lagi jika pergi melalui muassasah. Semua kita sama sahaja-Tiada yang membezakan kita. Semuanya hanya memakai 2 helai kain putih kosong-raja mahupun hamba sahaya. Ibadah Haji lebih sinonim dengan kesulitan dan kepayahan sehingga ada yang mengumpamakan haji itu adalah kusut masai. Jika kita fikir bahawa haji itu adalah untuk berjalan-jalan dan berseronok-seronok seperti pergi melancong, sebenarnya itu adalah satu tanggapan yang salah. Semasa di Arafah lagi, tidur kita pasti tidak cukup kerana panas dan juga gangguan nyamuk. Sebenarnya masa seumpama inilah digalakkan agar kita banyak berzikir kepada Allah dan banyakkan membaca Al-Quran. Rugi sekiranya jika kita membiarkan masa berlalu begitu sahaja atau brcakap yang sia-sia semasa berada di dalam ihram haji. Sesetengah khemah di Arafah tiada air-cond mahupun kipas. Wuquf di Arafah adalah pada 9 Zulhijjah apabila masuknya waktu Zohor. Dan dikuti dengan khutbah Arafah. Oleh kerana tempohnya tidak lama, jadi air-cond dan kipas tidak menampakkan keperluan yang terdesak. Lagipun, wuquf di Arafah adalah sehari dalam setahun sahaja. Arafah disebut dalam hadis NABI SAW yang mafhumnya bahawa, “Haji itu Arafah”. Wuquf di Arafah adalah waktu kritikal dalam ibadah haji kerana terluput wuquf di Arafah bermaksud tiadalah haji bagimu pada tahun tersebut. Kawasan ini, dahulunya tiada pokok dan kini sebahagiannya dihijaui dengan pokok-pokok untuk berteduh. Kadang-kadang terdapat angin sepoi-sepoi yang mengurangkan sedikit kepanasan. Di Arafah, Muzdhalifah dan Mina, jemaah haji berkongsi tandas, iaitu dengan nisbah 20 tandas untuk 2000 orang. Tandas yang sama juga digunakan untuk membuang air besar dan tandas yang sama juga digunakan untuk mandi manda. Cuba bayangkan jika ada yang menunggu untuk membuang air besar, sedangkan di dalamnya ada orang sedang mandi dan ada pulak yang membasuh baju didalam! Sebab itulah, jemaah haji tidak digalakkan mandi sewaktu berada disana. Jika perlu mandi, kita perlu bertimbang rasa dengan mandi pada waktu malam dengan kadar cepat dan segera menyelesaikan hajat wajib sahaja. Kalau mandi macam P Ramlee lagi bagus. Ujian nyamuk pun boleh tahan semasa di Arafah. Maklumlah setahun sekali, nyamuk pun ingin mengambil kesempatan juga. Semuanya ujian daripada Allah swt agar menjadi kifarah terhadap dosa-dosa kita yang lepas. Purata masa yang diperlukan jika waktu subuh, hampir atau lebih dari sejam beratur untuk menunggunya. Lebih-lebih lagi bagi kaum wanita, nak beratur lagi, dan perlu jaga aurat lagi (terdapat juga yang tidak begitu mengambil berat tentang aurat mereka). Semoga jemaah sedari di Malaysia lagi cuba melatih diri untuk bertimbang rasa sesama jemaah yang lain. Banyak bersabar dan mengawal diri. Kerana setiap tahun kita lihat banyak masalah berpunca kerana kurang sabarnya kita. Ada yang mengamuk memaki hamun pada pengurusan, ada yang bergaduh sesama jemaah, ada yang bertelingkah sesama suami isteri hingga ada kes penceraian yang direkodkan semasa di Masyair. Anggaplah ujian yang hadir itu sebagai cabaran buat kita, sebagai penghapus dosa-dosa lama kita. Moga haji ini menjadi ibarat mesin basuh- yang membasuh dan menyental segala dosa dan noda kesalahan kita,dan melahirkan kita sebagai insan baru, hamba Allah yang taat inshallah.
(Suntingan dari tulisan Datuk Dr Ustaz Haji Abdul Basit) _"Hadirku Sebagai Dhuyufurrahman dan Kembaliku Bersama Kemabruran"_ *Unit Bimbingan* *Felda Travel Sdn Bhd*

Tiada ulasan:

Catat Ulasan